Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan menyifatkan peranan Institut Kraf Negara (IKN) sangat penting melahirkan masyarakat mahir dalam menjana ekonomi.
Katanya, IKN juga berperanan membangunkan masyarakat yang masih berpegang kepada adat dan budaya melalui kemahiran kraftangan.
“Peranan dan fungsi IKN perlu disebarkan bukan sahaja untuk menjana ekonomi masyarakat yang masih berpegang kepada adat dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media ketika hadir Hari Terbuka IKN, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia ‘Ainu Sham Ramli dan Pengarah IKN Shamsul Azizi Samsudin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat.
Katanya, IKN sentiasa berhubung dengan pemain industri supaya setiap perkembangan baru dapat diadaptasi.
“Peranan teknologi juga penting untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan memenuhi masyarakat dunia,” katanya.
IKN menawarkan tujuh bidang iaitu Juru Kraf Kanan Rotan, Operasi Pengeluaran Batik, Pengukiran Kayu, Penyelia Songket dan Dastar, Kraf Barang Kemas, Pengeluaran Kraf Seramik dan Penyelia Tenunan Pua.
Program ini mengguna pakai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau National Occupational Skills Standard (NOSS) sebagai panduan pembelajaran.
-ZS-