Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)/Jabatan Penerangan Malaysia
BANTING, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Program Kembara 2023 merupakan platform untuk media mempromosikan lokasi menarik dan produk tempatan yang dihasilkan oleh penduduk, seterusnya dapat memacu ekonomi setempat.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil media akan dibawa ke lokasi tumpuan pelancong di Selangor dan Negeri Sembilan yang merupakan negeri yang dipilih sempena Kembara Media 2023.
“Saya harap pihak media dapat menceritakan mengenai lokasi yang dilawati kerana banyak tempat menarik yang terdapat di Selangor dan Negeri Sembilan dan seterusnya dapat mempertingkatkan ekonomi masyarakat setempat.
“Media juga disarankan untuk membuat laporan berkenaan liputan Internet dan komunikasi di lokasi yang dilawati kerana capaian internet sangat penting terutamanya di kawasan pelancongan” katanya semasa berucap di majlis sesi ramah mesra Program Kembara Media 2023 di Gamuda Cove di sini hari ini.
Program Kembara Media berlangsung selama empat hari bermula hari ini disertai 22 pengamal media massa termasuk media digital daripada 15 agensi seluruh Malaysia.
Kembara Media merupakan aktiviti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia bersama pengamal media massa dalam usaha memperkasa jaringan strategik di antara Jabatan Kerajaan dan Media Massa.
Turut hadir YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Dato’ Sukari Ab. Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Normaizatulakmal Tujad, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Selangor, Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor dan Ngan Chee Meng, Pengarah Eksekutif, Gamuda Land.
-ZS-