Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)/Pejabat Perpaduan Daerah Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Indera Noridah Abdul Rahim meminta Kawasan Rukun Tertangga (KRT) bijak dalam merancang dan melaksana setiap aktiviti untuk kesejahteraan komuniti setempat.
Katanya, setiap KRT perlu bijak mengambil peluang dengan berkolaborasi bersama rakan strategik seperti badan bukan kerajaan dan korporat bagi merancang serta mewujudkan aktiviti yang dirancangkan.
“Kerjasama erat yang terjalin antara agensi kerajaan mahupun swasta membuktikan bahawa komuniti setempat bijak dalam merancang dan melaksana setiap aktiviti untuk kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama warga KRT Kampung Gong Baru dan Gong Tok Nasek, di sini semalam.
Pada lawatan tersebut, beliau sempat meninjau aktiviti ekonomi komuniti seperti mencanting batik, menganyam tikar serta menenun songket.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan-rakan strategik KRT.
-ZS-