Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

‘Malaysia MADANI : Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ – Tema HKHM 2023

By 28 Mei 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Malaysiaaktif) – ‘Malaysia MADANI : Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pemilihan tema itu sejajar dengan tekad serta komitmen kerajaan bersama rakyatnya sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta kehidupan yang aman dan sejahtera.

“Tema ini turut didokong dengan konsep Malaysia MADANI sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan,” jelas Fahmi ketika melancarkan logo dan tema HKHM 2023 di Esplanade Taman KLCC, hari ini.

Seiring dengan aspirasi itu, logo Malaysia MADANI turut menjadi logo rasmi sambutan HKHM pada tahun ini.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2023 berkata, “Pemilihan logo Malaysia MADANI berteraskan kepada reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’ serta mengandungi warna-warna asas Jalur Gemilang selaras dengan jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia yang berbilang bangsa hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa.”

Beliau menyeru semua pihak semua pihak untuk menggunakan, memaparkan dan menularkan logo dan tema HKHM itu sebagai tanda cinta kita kepada negara selain membantu usaha mempromosi dan menyebarluaskan erti sambutan HKHM.

Rakyat juga diseru mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 15 Julai ini. Manakala Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 pada 31 Ogos di Putrajaya dan diikuti Sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak pada 16 September.

Turut hadir bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn. Bhd. Datuk Md Shah Mahmood.

-ZS-

Tinggalkan komen anda