
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Para pengguna dinasihat melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya meragui ketulenan telur omega yang dibeli di pasaran ketika ini.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahudin Ayub, berkata tindakan tersebut penting untuk pihaknya menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkaitan supaya ketulenan telur omega dapat disahkan.
“Pengguna dinasihatkan laporkan terus kepada KPDN, bukti tersebut akan diserahkan kepada veterinar dan Kementerian Kesihatan supaya dapat disahkan telur itu.
“Tetapi sekiranya pengguna meragui ketulenan telur omega yang dibeli, aduan perlu dibuat pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan orang ramai tentang ketulenan telur omega yang dijual di pasaran.
Terdahulu, Salahuddin melancarkan Inisiatif Payung Rahmah di Pasaraya Besar Giant, di sini hari ini.
Katanya, hampir semua cawangan pasaraya tersebut berjumlah 90 cawangan melaksanakan inisiatif Payung Rahmah seperti Menu Rahmah, Pakej Rahmah, Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah.
“Rakyat bukan sahaja dapat menikmati harga berpatutan malah kualiti barangan di Pasaraya Giant bukan barangan murahan dan berkualiti,” jelasnya.
Katanya, setakat ini premis yang menjual harga Rahmah berjumlah 3,590 dan 14,500 barangan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN Datuk Roziah Abudin dan Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam.
-ZS-