Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Berry Taimin (Sabah)
KOTA KINABALU, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Penglibatan pelbagai kaum dalam suatu program dapat meningkatkan semangat patriotik dan perpaduan.
Menurut pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sharmadharshini Muniandy, 22, berasal dari Kedah, apabila kita bergabung tidak kira bangsa ia dapat mewujudkan rasa sayang pada negara.
“Contohnya, saya bukan berasal dari Sabah merasa gembira kerana berpeluang menari dan menyanyikan lagu tempatan Sabah.
“Untuk itu saya ambil inisiatif melihat dan memahami lirik lagu seterusnya menyanyikan bersama rakan-rakan,” kongsinya ketika ditemui pada program Pelancaran Logo dan Tema Hari Malaysia 2023 yang diadakan di Hypermall 1B Kota Kinabalu, di sini pada Sabtu.
Tambahnya, beliau yang tidak pernah terlibat dalam program seperti ini merasa seronok mengikutinya dan merupakan suatu pengalaman yang baru.
“Diharap akan banyak lagi program seumpama ini diadakan pada masa hadapan,” ujarnya.
Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2023 Datuk Seri Panglima Masidi Manjun hadir menyempurnakan tersebut.
-ZS-