Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Karakter Barkoba yang popular dengan slogan ‘yak yak yeay’ berjaya menjadi fenomena hingga mengangkat pelakon dan pelawak Bell Ngasri sebagai Artis Komedi Popular seterusnya muncul sebagai Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35, baru-baru ini.
Bell atau nama sebenarnya, Ngasrizal Ngasri, 43, berkata karakter Barkoba adalah salah satu karakter ciptaan Allahyarham Mamat Khalid yang disukai dan disenangi ramai.
“Tidak dapat dinafikan watak ini juga yang mengangkat nama saya untuk menjulang anugerah yang diterima dan fenomena ‘yak yak yeay’ takkan hadir tanpa jasa dan pengorbanan Allahyarham Mamat Khalid,” katanya ketika dijemput sebagai panel bagi Program Sembang Santai Sutradara “MAMAT KHALID”: Dalam Kenangan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk), di sini semalam.
Bell menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pengarah yang genius kerana sentiasa hadir dengan idea spontan ketika bekerja.
Sementara itu, suri rumah Nurul Kamariah Hussin, 39, mengambil peluang untuk hadir ke program ini sebagai tanda sokongan kepada PPANPk selaku penganjur selain bertemu pelakon Bell Ngasri.
“Saya menggemari filem-filem arahan Mamat Khalid kerana usahanya mengangkat bahasa (loghat) negeri Perak selain jalan cerita yang santai namun memberi mesej kepada penonton.
“Harapan saya agar anak Allahyarham dapat meneruskan legasi dengan menghasilkan filem-filem bermutu dan memupuk semangat positif seperti mana Allahyarham P. Ramlee yang berjaya menghasilkan karya-karya malar hijau,” katanya.
-ZS-