Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi
MUAR, 3 Jul (Malaysiaaktif) – Kaunter rayuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 telah dibuka kepada orang ramai bermula hari ini sehingga 31 Julai 2023.
Pemohon yang mempunyai status ‘TIDAK LULUS’ boleh mengunjungi kaunter tersebut di Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Muar, Sungai Abong, di sini untuk membuat rayuan dan juga semakan.
Kaunter tersebut beroperasi pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari Ahad hingga Rabu manakala sehingga pukul 3.30 petang pada hari Khamis.
Seorang kakitangan LHDN Muar Ahmad Hilmi Md Dom, 32, berkata pihaknya telah bersiap sedia untuk memberi layanan dan perkhidmatan yang terbaik terhadap pengunjung yang datang ke kaunter rayuan tersebut.
“Dijangka hampir 300 orang akan hadir secara berperingkat setiap hari dan akan bertambah pada hari Ahad kerana kehadiran pemohon yang datang dari Sungai Rambai, Melaka,” katanya.
Pemohon STR boleh membuat rayuan melalui dua kaedah iaitu secara dalam talian di Portal Rasmi STR LHDNM, https://bantuantunai.hasil.gov.my atau melalui aplikasi Sumbangan Tunai Rahmah dengan memuat turun aplikasi di Playstore/Appstore pada telefon bimbit atau hadir ke Pejabat LHDN/ Pejabat Satelit (PS)/Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terdekat.
-ZS-