
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)/Norfazila Ahmad (PNS)
SEREMBAN, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Graduan bidang kemahiran dan pengajian teknikal kini dilihat semakin mendapat tempat dalam industri terutamanya dalam bidang keusahawanan dan teknikal.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, graduan politeknik adalah yang terlaris dalam pasaran pekerjaan.
“Graduan politeknik bukan sahaja didedahkan dengan kemahiran tetapi relevan dengan pasaran pekerjaan yang ditawarkan di negara ini,” katanya ketika hadir ke Politeknik Nilai (PNS) untuk meninjau proses pendaftaran pelajar baharu PNS sesi 2023/2024.
“Pelajar yang mendapat skor Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas berpeluang menyambung pengajian ke mana-mana Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan kebiasaannya 40 peratus pelajar kita akan menyambung pengajian seterusnya 60 peratus lagi akan turun ke dunia pekerjaan.
“Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan memperluas kerjasama bukan sahaja bersama MTUN, tetapi juga universiti lain yang telah bersedia menerima pelajar dan graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC),” katanya.
Katanya lagi, seramai 549 pelajar telah mendaftar di PNS untuk sesi I 2023/2024 bagi mengikuti pengajian di peringkat diploma.
Turut hadir Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK Ts. Zainab Othman, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK Tuan Haji Azirin Abdul Aziz dan Pengarah PNS Tuan Haji Wan Zulkifly Wan Zakaria.
-ZS-