Laporan/foto: Alias Jaafar/Berry Taimin (Sabah)
TUARAN, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA) merupakan prospek pelancongan menarik dan mampu menarik kehadiran pelancong ke daerah Tuaran.
PESTA membuat persembahan di pentas terbuka berdekatan dengan jambatan Tamparuli, sebuah destinasi pelancongan yang dikenali ramai.
Menurut Pengerusi PESTA, Kuhim Ugat, 60, persatuannya kini memiliki seramai 45 orang ahli yang terdiri daripada pemain alat muzik dan penari.
“Mereka berkebolehan memainkan pelbagai alat muzik tradisonal seperti kulintangan, seruling dan menari tarian tradisi pelbagai etnik negeri Sabah,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
“Selain itu, kami juga ada menjual pelbagai hasil kraftangan tempatan bagi membolehkan pengunjung membawa pulang sebagai buah tangan.
Sementara itu, seorang pengunjung Johnny Chin, 66, berkata beliau datang ke Tamparuli bersama keluarga semata-mata ingin melihat sendiri kreativiti muzik yang dipersembahkan oleh persatuan ini.
Beliau memuji usaha PESTA kerana mengadakan persembahan kebudayaan seterusnya melestarikan budaya tradisi Sabah.
Untuk rekod, waktu persembahan bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
-ZS-