Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kepelbagaian Budaya Meriahkan Mini Karnival Bangsa Johor

By 18 September 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mazlin Basir/Pejabat Daerah Batu Pahat

BATU PAHAT, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Program Mini Karnival Bangsa Johor Sempena Hari Malaysia Peringkat Daerah Batu Pahat yang diadakan di Perkarangan Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, kelmarin mendapat sambutan luar biasa oleh masyarakat Batu Pahat.

Program anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Batu Pahat dengan kerjasama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon.

Menurut Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md Ali, kehadiran luar biasa masyarakat Batu Pahat yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa, agama, budaya dan usia membuktikan kesemua masyarakat menjiwai semangat patriotisme yang sangat tinggi.

“Kepelbagaian aktiviti dalam menyambut Hari Malaysia memberi kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan Integrasi Nasional.

“Proses membina Bangsa Johor yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional, harus dipertahankan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa. Memupuk perpaduan Bangsa Johor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi merupakan agenda besar lagi penting bagi kerajaan, demi kelangsungan sebuah negeri yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera,” katanya.

Ahli Majlis Zon 4 Majlis Perbandaran Batu Pahat Lim Sey Ken, berkata program sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan baik sesama masyarakat.

“Sambutan Hari Malaysia perlu diterjemahkan dengan kesepaduan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Bukan sahaja keunikan budaya malah toleransi antara kaum juga menjadi aspek penting dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Program ini turut mempamerkan kepelbagaian makanan, budaya dan permainan seperti nasi lemak, soto serta puri, permainan tradisional congkak, batu seremban, capteh, yoyo, pertunjukkan membuat kolam atau rangoli.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor Suraya Wen dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat Boo Chin Liong.

-ZS-

Tinggalkan komen anda