Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Kempen Keselamatan Kebakaran ‘Satu Rumah Satu Alat Pemadam Api’

By 27 November 2023November 28th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: S.Shanmuganathan/Nor Haliza Ridzuan (Seberang Perai Tengah)

PERAI, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Kempen  Keselamatan Kebakaran ‘Satu Rumah Satu Alat Pemadam Api’ dan Pelancaran Sukarelawan Bomba Komuniti Taman Perai dan Taman Emas telah diadakan di Gelanggang Bola Keranjang Taman Emas, di sini pada Sabtu.

Program anjuran bersama Persatuan Penduduk Taman Perai dan Taman Emas, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perai serta Komuniti Madani Taman Perai ini mendapat sambutan yang baik oleh penduduk setempat.

ADUN Perai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Sundararajoo Somu dalam ucapan perasmiannya, berkata program ini sangat baik dan memberi manfaat kepada penduduk dalam memupuk serta memberi kesedaran awam berkaitan keselamatan kebakaran.

“Usaha kecil ini memberi impak yang besar dalam komuniti agar masyarakat dapat menangani insiden kebakaran seterusnya dapat menyelamatkan nyawa serta harta benda jika berlaku kebakaran,” ujarnya.

Selain itu, penduduk setempat juga didedahkan dengan cara-cara memadam api serta tindakan awal yang perlu diambil sementara bantuan keselamatan tiba. Sesi demonstrasi memadamkan api telah dikendalikan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Dalam program yang sama, sebanyak 52 alat pemadam api telah diserahkan kepada komuniti sebagai simbolik penubuhan Sukarelawan Bomba Komuniti di kawasan ini.

Selain itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Pulau Pinang juga turut menyerahkan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti berjumlah RM10,000 kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Perai dan Taman Emas Thuraisingam Mahalingam.

Seorang suri rumah, Vasanthi Mariappan, 46, berkata program ini amat baik bagi membantu komuniti berdepan situasi kecemasan di rumah terutamanya jika berlaku kebakaran.

“Program hari ini amat bagus kerana dapat memupuk kesedaran kepada komuniti dalam berdepan kecemasan jika berlaku kebakaran di rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Premka Rukumani Perumal, 66, berkata program ini memberi peluang kepada beliau untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan kebakaran khususnya keselamatan di dapur ketika memasak.

Turut hadir Penolong Penguasa Bomba dari Cawangan Kesedaran Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang Zara’im Hj Mohd Lazim, wakil Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Pulau Pinang Nazlia Naim, Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah Mazlan Hashim dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Perai Thuraisingam Mahalingam.Turut hadir Penolong Penguasa Bomba dari Cawangan Kesedaran Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang Zara’im Hj Mohd Lazim, wakil Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Pulau Pinang Mazlan Hashim, Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah Nazlia Naim, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Perai Thuraisingam Mahalingam dan beberapa pemimpin komuniti setempat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda