Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

‘Soul To Soul Ya Syabab – Reclaim Your Soul’ Bentuk Sahsiah Belia Tawau

By 14 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)

TAWAU, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Seminar ‘Soul To Soul Ya Syabab – Reclaim Your Soul’ yang julung kalinya dianjurkan di daerah Tawau, mampu mendedahkan golongan remaja dengan kandungan motivasi yang disingkap daripada kitab suci al-Quran di samping membentuk peradaban mulia pemimpin negara pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal, berkata seminar ini juga bertujuan melahirkan kelompok belia yang berkemahiran dan berakhlak mulia melalui perlaksanaan dan tarbiyyah kepelbagaian bidang ilmu dalam membentuk diri menjadi anak-anak remaja yang berilmu, beriman dan bertaqwa berlandaskan al-Quran dan sunah.

Jelasnya, ketika ini terlalu banyak program hiburan melalaikan yang disajikan kepada anak-anak remaja selain kekurangan program-program kerohanian yang berkualiti yang boleh menyentuh hati dan memberikan kefahaman kepada golongan tersebut.

“Peratusan program berbentuk lagha dan melalaikan terlalu tinggi dibandingkan program yang berbentuk keagamaan. Penganjuran seminar pada hari ini agar anak-anak kita tidak terus hanyut dengan hidangan hiburan yang semakin berleluasa yang mana amat mudah untuk diakses oleh anak-anak kita kerana semuanya hanya di hujung jari sahaja.

“Adalah tidak dinafikan, golongan remaja adalah barisan pelapis dan pewaris kepada sesebuah negara. Kejayaan sesebuah negara di masa hadapan adalah terletak kepada kualiti dan daya tahan generasi remaja itu dalam membentuk peribadi yang unggul,” katanya ketika berucap dalam program program ‘Ya Syabab 2.0 Soul To Soul’ di Dewan Kuliah, Institute of Science and Management (ISM), di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kukusan Susanti Jokobus.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan Sabah itu berharap para peserta dapat menimba sebanyak mungkin ilmu yang telah dikongsikan sepanjang seminar ini berlangsung sekali gus dapat mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari semasa berada di dunia luar.

“Semoga anak-anak ini akan dapat membentuk akhlak dan peribadi mulia sebagai pelajar muslim dan dapat mengawal serta mengendalikan perilaku diri sendiri dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran sebagai pelajar.

“Saya mengharapkan agar program seumpama ini akan terus dianjurkan di daerah Tawau bagi membantu kerajaan menangani isu gejala sosial yang semakin meningkat dalam kalangan anak-anak remaja dan ingin melihat lebih ramai golongan ibu bapa dan pendidik sedar akan kepentingan pendidikan berlandaskan al-Quran dan sunah tanpa mengira peringkat usia,” katanya.

Terdahulu, Rina telah menyempurnakan acara penyerahan tajaan yuran pendidikan kepada 100 orang belia di Tawau untuk menyertai seminar ‘Ya Syabab 2.0 Soul To Soul’ bernilai RM5,000.

-ZS-

Tinggalkan komen anda