Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

157 Keluarga Terlibat Projek ECRL Terima Ex-Gratia

By 15 Disember 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 157 keluarga menerima bayaran pampasan (‘ex-gratia’) setelah kediaman mereka terlibat dalam pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Desa Mukmin, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah, berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Malaysia Railway Link (MRL) telah menawarkan bayaran kepada pemilik dan penyewa di atas tapak yang terlibat.

“Bayaran tersebut melibatkan kos perpindahan RM3,000, kos sewaan selama 24 bulan pada kadar RM1,500 sebulan serta ganti rugi kos struktur yang terlibat.

“Mereka juga ditawarkan rumah Rumah Selangorku (RSKU) di Tasik Puteri sebanyak 49 unit berharga RM79,000, SmartSewa di Blok Temenggung (40 unit) dan di Sri Damai (240 unit),” katanya.

Menurutnya, arahan pengosongan dikeluarkan pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak pada 13 Disember lalu.

“Pemilik dan penyewa yang terlibat perlu mengosongkan tapak sebelum 15 Januari ini untuk memberi laluan kepada kerja-kerja awalan pihak MRL.

“Kerajaan Selangor yakin projek ini akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah kepada rakyat Malaysia secara amnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan ‘Ex-Gratia‘ Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Desa Mukmin dan Sumbangan Bencana Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Beringin, di sini semalam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda