Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Belanjawan 2024 Negeri Pahang Lebih Prihatin

By 6 Disember 2023Disember 11th, 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Belanjawan Negeri Pahang 2024 adalah ikhtiar kerajaan negeri yang ikhlas dan tuntas untuk meletakkan Pahang ke suatu tahap yang lebih baik serta menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.

Bertemakan Pahang Prihatin, Rakyat Makmur, ia menjadi teras utama kepada intipati keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang untuk tahun 2024.

Upacara Pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2024 berlangsung dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-15 di Wisma Sri Pahang oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Belanjawan kali ini, telah mencakupi keseluruhan aspek dan mengariskan lima tunjang utama iaitu memacu daya saing dan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur, memperkasa tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan, menjamin keunggulan generasi akan datang dan memperteguh kemakmuran negeri dan rakyat,” ujarnya sewaktu pembentangan, di sini pada Isnin.

Katanya lagi, pelbagai usaha telah dirancang untuk membantu rakyat Pahang antaranya kerajaan mewujudkan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta sebagai satu tabung kepada golongan Kumpulan B40  yang memerlukan bantuan yang bersesuaian untuk meneruskan kelangsungan hidup serta untuk membiayai penyakit kronik.

“Agenda kebajikan rakyat Pahang juga diberi perhatian dan keutamaan menerusi Bantuan Prihatin Pahang yang merangkumi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, kaum, agama dan fahaman politik dengan peruntukan berjumlah 38.08 juta ringgit,” ujarnya.

Di akhir pembentangan, Wan Rosdy dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang sepakat mengenakan mafla sebagai simbolik solidariti Kerajaan Pahang kepada rakyat Palestin sepanjang sidang dewan berlangsung bermula Isnin hingga Jumaat ini.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda