Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Muzium Lukut Menyimpan 1,001 Sejarah

By 12 Disember 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Pejabat Penerangan Port Dickson

PORT DICKSON, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Menyingkap kisah di sebalik sejarah Kota Lukut, Lukut merupakan sebuah wilayah berasingan di Selangor sebelum termeterainya Perjanjian Sempadan Selangor dan Sungai Ujong.

Ketua Muzium Faris Akmal Ali, berkata bermula daripada awal kurun ke-19 Masihi sehinggalah Lukut dimasukkan ke dalam daerah Sungai Ujong pada 31 Julai 1880, Lukut antara daerah yang aktif dalam aktiviti perlombongan bijih timah.

Ujarnya, sejarah Lukut terbahagi kepada tiga era iaitu era Raja Busu Raja Nala (zaman pembukaan Kota Lukut), era Raja Jumaat Raja Jaafar (zaman kegemilangan dan perubahan pentadbiran) dan era Raja Bot (zaman kejatuhan).

“Muzium Lukut telah dibina bagi memelihara sejarah Lukut dan dirasmikan pada 9 April 1999 oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa Dato Abdul Samad.

“Bangunan dua tingkat mengikut seni bina Bugis yang mempunyai tiga galeri utama iaitu Galeri Sejarah Kota Lukut, Galeri Perindustrian Lukut dan Galeri Khas ini banyak menyimpan kisahnya yang tersendiri.

“Sepanjang tahun 2023, Muzium Lukut banyak menganjurkan aktiviti antaranya Bicara@Muzium, Pameran Kapal Karam, reruai bersama agensi luar dan Bermalam di Muzium,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muzium Lukut beroperasi setiap hari bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang tanpa sebarang bayaran masuk.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda