Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Sedia Kerjasama dengan Negeri Lain Jayakan Projek Jagung Bijirin

By 29 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto:Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU CAVES, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor sedia bekerjasama dengan negeri-negeri lain untuk menjayakan tanaman jagung bijirin.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata cabaran dihadapi pihaknya ketika ini adalah saiz tanah terhad serta jenis gambut.

“Keseluruhan tanah seluas 300 ekar sahaja dan jenis tanah gambut yang terpaksa dibuat secara manual.

“Kalau kita dapat tanah pamah atau tanah liat atau tanah yg mempunyai mineral adalah lebih baik kerana jentera boleh masuk,” katanya.

Menurutnya, lebih 118 tan hasil tuaian pertama di tanah gambut dan optimis hasilnya boleh ditingkatkan lagi.

“Terus terang memang saya sedia bekerjasama dengan negeri-negeri lain atau anak syarikat yang mempunyai tanah.

“Limitasi kita di Selangor adalah saiz tanah kerana kita ada sekitar 300 ekar sahaja, keperluan kita melibatkan beribu ekar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak 2024 di Kampung Wira Damai, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata usaha kerjasama dengan negeri lain sedang diusahakan.

“Melalui cara itu kita dapat mengurangkan harga protein terutama ayam dan lembu.

Saya sedang bincang dengan dua tiga negeri dan yakin kita boleh buat kerana formulanya telah berjaya dilaksanakan,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda