Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

E-Braille 2.0 Beri Sinar OKU Penglihatan Dalami Dunia Pendidikan dan Al-Quran

By 29 Mac 2024Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Akmal Ibrahim/Noorsiah Mahmud

KOTA KINABALU, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Sejak diperkenalkan pada tahun 1948 di Malaysia, sumber bacaan dalam tulisan Braille masih belum mampu memenuhi permintaan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di seluruh negara yang juga berhak mendapat peluang sama rata dalam aspek pendidikan mahupun sosioekonomi pada masa kini.

Menongkah ke arah itu, Akademi Quranis Al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang telah diwujudkan seawal tahun 2016 lalu, berinisiatif menyediakan Kelas Bimbingan Al-Quran dan Pendidikan menggunakan teknologi Braille Elektronik (E-Braille) 2.0 kepada anak-anak istimewa ini.

Penyelia Akademi Quranis Al-Mubarak Ustaz Armutra Abdul Manaf, 42, berkata teknologi yang dibangunkan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM Dr. Shahril Mad Saad itu membolehkan anak-anak OKU penglihatan membaca pelbagai bahan bacaan digital tanpa memerlukan buku rujukan tulisan Braille.

“E-Braille 2.0 ini seperti komputer riba untuk anak-anak OKU penglihatan yang mana mereka boleh membaca apa sahaja bahan bacaan dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF), ia akan dimasukkan di dalam pemacu pena kemudian dihubungkan kepada E-Braille 2.0 ini dan boleh dibaca melalui tulisan Braille yang akan muncul di mesin ini.

“Konsep yang sama juga diaplikasikan untuk al-Quran atau Iqra yang telah digunakan sejak pengenalan siri pertama E-Braille lagi, dan di akademi ini kami mempunyai dua tenaga pengajar terdiri daripada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang diserap masuk untuk mengajar,” katanya ketika ditemui dalam Program Influencer@JaPen terbitan Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah di sini pada Khamis.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang pelajar Irwanshah A. Shafiuddin, Juria Iskandar, 66, berkata, beliau menggunakan wang simpanannya untuk membeli sendiri peranti E-Braille 2.0 itu agar boleh digunakan dengan lebih mudah oleh anaknya semasa latihan di kelas ataupun di rumah.

“Sebagai ibu bapa, ini pengorbanan yang saya dapat lakukan, sekurang-kurangnya anak saya mampu untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih baik walaupun harga untuk sebuah peranti E-Braille 2.0 ini agak mahal, tapi ini demi masa depan anak-anak.

“Kami bersyukur dengan adanya aktiviti seumpama ini di sini, ianya dapat mendedahkan masyarakat dengan kesungguhan anak-anak OKU penglihatan ini menuntut ilmu, belajar membaca Iqra, al-Quran dan ini memberi jaminan masa depan yang lebih cerah kepada mereka,” ujarnya.

Menurut Irwanshah, 38, beliau mula mengalami masalah penglihatan sejak didiagnosis penyakit diabetes dan buah pinggang sejak tahun 2019 dan mula menghubungi akademi tersebut bagi memulakan kursus E-Braille tahun 2022 selepas aktiviti sosial di seluruh negara kembali normal pasca pandemik COVID-19.

“Memang apabila saya penglihatan saya mulai bermasalah, seakan-akan tiada harapan, tetapi alhamdulillah, dengan dorongan ibu bapa, saya dipertemukan dengan akademi ini dan di sinilah saya mendapatkan kembali semangat saya untuk tidak berputus asa mendalami ilmu dan al-Quran menggunakan E-Braille 2.0 yang sebenarnya sangat mudah digunakan.

“Semasa saya boleh melihat, saya sudah khatam al-Quran tapi hari ini saya perlu bermula semula dengan tulisan braille, kini saya sudah di Iqra empat, masih banyak yang saya perlu pelajari daripada peranti E-Braille ini dan saya percaya ianya akan meningkatkan kemampuan OKU penglihatan seperti kami belajar,” katanya.

Selain Akademi Quranis Al-Mubarak, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu terdapat kelas mengajar e-braille seumpamanya diwujudkan di pejabat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (PERTIS) Sabah, di Putatan.

Untuk rekod, peranti E-Braille 2.0 ini telah dibangunkan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Dr Shahril Mad Saad dan pasukannya pada tahun 2009 dan telah diguna pakai di beberapa pusat latihan di Johor.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda