Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

FOMDEC 2024 Bina Jati Diri, Kekuatan Mental Pelajar

By 4 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 106 pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) daripada enam unit beruniform berjaya menamatkan ‘Fitness Orientation Mental Development Program’ (FOMDEC) yang diadakan di kampus itu sejak 1 Mac lalu.

Program Perkhemahan Bersepadu yang julung kali diadakan itu menghimpunkan pelatih-pelatih dari Pasukan Latihan Anggota Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (PLASTLDM), Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS), Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA), Briged Bomba, Kelana Siswa dan Pandu Puteri.

Timbalan Pengarah Akademik PSA, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Ts Dr Ahmad Aftas Azman, berkata FOMDEC bertujuan membangunkan pelajar secara menyeluruh selain akademik seperti kokurikulum, jati diri dan disiplin.

“Saya sangat berpuas hati dengan komitmen dan disiplin pelatih dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan dan kita akan diteruskan pada semester-semester akan datang.

“Kita juga akan cuba sebar luaskan kem tahunan ini kepada semua politeknik dan kolej komuniti,” katanya.

Sementara itu pelatih RELASIS, Farid Fauzan, 19, berkata banyak manfaat yang diperoleh sepanjang menyertai kem tersebut dalam meningkatkan keyakinan diri dan membuat keputusan.

“Sebagai pelajar kita patut seimbangkan antara akademik dan kokurikulum.

“Kalau setakat fokus kepada pelajaran tetapi kokurikulum kosong, kita tidak ada apa-apa sebenarnya,” jelasnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda