Laporan/foto: Mohd Zamzuri Salleh (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Keselamatan negara merupakan tanggungjawab bersama setiap warganegara Malaysia dalam menjaga kesejahteraan dan keamanan negara.
Menurut Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Mohd Zakwan Nawi usaha untuk membantu menyelesaikan masalah dan isu yang wujud adalah tanggungjawab bersama dan perkara ini mampu dilaksanakan dengan kerjasama erat antara agensi dan MKN.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Bicara Eksekutif: Peranan Individu Dalam Melestarikan Kemakmuran dan Keselamatan Negara’, anjuran MKN Negeri Kelantan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Kelantan di sebuah hotel, di sini kelmarin.
Program yang julung kali diadakan bertujuan memberi penjelasan berkaitan dengan isu keselamatan negara yang merangkumi semua aspek seperti bencana alam, masalah sosial, isu politik semasa, jenayah siber serta peranan masyarakat khususnya penjawat awam.
Pengarah YADIM Haji Mahadi Awang, berkata program yang diadakan mampu memberi pendedahan tentang bagaimana masyarakat boleh membantu kerajaan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
“Agama Islam turut mengunjurkan supaya setiap individu mengamalkan setiap amalan yang baik mengikut agama dan menjauhi perbuatan yang boleh menyebabkan terpesong akidah.
“Amalan baik dapat menghindarkan masyarakat dari terjebak dengan ajaran sesat yang boleh menggugat kefahaman dan keselamatan masyarakat orang Islam dalam menjalani kehidupan sebagai insan yang taat kepada ajaran islam yang sebenar,” katanya.
-ZS-