Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Perayaan Hari Moyang Mah Meri Sungai Bumbun Pulau Carey

By 11 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Tanggamal Balasundram/Raba’ayah SAIDIN (Kuala Langat)

KUALA LANGAT 11 Mac ( Malaysiaaktif) – Perayaan Hari Moyang disambut oleh suku kaum Mah Meri setiap tahun selepas Tahun Baharu Cina bertujuan bagi memohon perlindungan, pengampunan dan kesejahteraan kepada keluarga.

Kaum Mah Meri kebanyakannya tinggal di Pulau Carey dan menyambut perayaan Hari Moyang.

Penduduk di sekitar turut memberi penghormatan kepada leluhur dan roh nenek moyang ketika tahun baru.

Upacara ini diadakan pada sebelah pagi pada hari perayaan tersebut menandakan bermulanya Hari Moyang.

Bagi Kampung Orang Asli Sungai Bumbun terdapat tiga buah rumah moyang sebagai tempat upacara tersebut iaitu Moyang Keteq, Moyang Gadeng dan Moyang Ambai yang diketuai seseorang telah diamanahkan.

Pada sambutan ini juga pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan tarian jooh dari Kumpulan Kebudayaan Jo’oh dan topeng.

Terdapat pantang larang perlu dipatuhi dalam tempoh tiga hari perayaan dalam tempoh tujuh hari perayaan Hari Moyang berlangsung.

Sambutan tahun ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu khas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasamy.

Sarawathy berkata orang Mah Meri telah mengekalkan budaya serta tradisi mereka yang unik menjadikan Kampung Sungai Bumbun sebagai tapak budaya dan sejarah yang penting di Malaysia.

“Kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak tahu sejarah unik mereka ini.

“Saya akan kembali ke tapak warisan Kampung Sungai Bumbun ini untuk memahami dengan lebih lanjut tentang cara hidup mereka,” katanya.

Saraswathy juga menyumbangkan RM5,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli Sungai Bumbun untuk melaksanakan aktiviti bersama masyarakat.

Turut hadir Penyelaras Parlimen Kuala Langat, Haridas Ramasamy, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Kuala Langat, Mohd Nor Yakop dan Tok Batin Sidin.

Di negeri Selangor terdapat 74 buah perkampungan orang asli yang terdiri daripada suku kaum Mah Meri, Temuan dan Semai.

-ZS-

Tinggalkan komen anda