Laporan/foto oleh Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Sukan adalah alat perpaduan yang mampu menjadi medium mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat.
Oleh itu, Persatuan Keselamatan, Kebajikan dan Kesejahteraan Penduduk Kampung Bukit Kechik Tanah Merah bersama Kawasan Rukun Tetangga telah mengadakan sukan rakyat Program Santai Ria melibatkan 300 orang dari lima buah kampung iaitu Kampung Bukit Kechik, Kampung Banggol Ketereh, Kampung Kuala Kepok, Kampung Muring dan Kampung Alor Banggol, Bendang Nyiur Tanah Merah.
Antara sukan rakyat yang diadakan adalah seperti tiup belon, bowling kelapa, merebut kerusi, mencari duit dalam tepung, tarik tali, isi air dalam botol, dan mencari etok dalam sungai.
Menurut Pengerusi Keselamatan, Kebajikan dan Kesejahteraan Penduduk Kampung Bukit Kechik, Mohamad Noor Hassan program ini bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan silaturahim di samping memelihara alam sekitar.
“Kerjasama antara lima buah kampung berdekatan mampu memupuk semangat perpaduan dan memberi pendedahan dan penerapan tentang penting memelihara alam sekitar dan menjaga kebersihan sungai.
“Program ini juga adalah salah satu cara untuk memupuk muafakat di antara penduduk kampung menjelang ramadan,” katanya ketika ditemui.
Suhaila Zaharin, 42, yang merupakan tukang masak tradisional dari Kampung Bukit Kechik berkata, beliau dan beberapa suri rumah menggunakan tumbuhan hutan, ikan yang dipancing dari sungai dan sayur-sayuran sebagai sumber utama untuk memasak lauk pauk pada hari program dilaksanakan.
Peserta cilik yang turut menyertai sukan rakyat, Puteri Adnie Azhar, 6, berkata, beliau amat seronok dan gembira apabila dapat menyertai sukan yang diadakan terutama acara mencari etok dalam sungai
“Saya berasa teruja dan gembira apabila menyertai sukan rakyat, dan yang paling seronok boleh mandi sungai semasa acara mencari etok di dasar sungai,” katanya sambil memegang hadiah yang dimenangi.
-ZS-