Laporan/foto: NorShahira Nasir/W Shahilawati W Baharuddin (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 3 April (Malaysiaaktif) – Bazar Buluh Kubu merupakan salah satu bazar tertua di Kota Bharu yang mencecah usia hampir 40 tahun, dan sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara pada suatu ketika dahulu.
Namun, bazar yang dulu pernah menjadi tumpuan orang ramai kini lengang dan sunyi tanpa pengunjung berikutan lambakan bazar baharu yang banyak dan besar serta kurangnya pengunjung.
Peniaga batik, Wan Hazaman Wan Zakaria, 45, yang berniaga di bazar Buluh Kubu sejak muda berkata, perniagaan sekarang sangat perlahan ditambah pula dengan kewujudan persaingan daripada peniaga yang menjual produk sama.
“Waktu kami berniaga sekarang dari jam 10 pagi hingga 5.00 petang, kami terpaksa bergelut dalam masa yang singkat untuk mendapatkan pelanggan yang semakin berkurang.
“Akibatnya ramai peniaga mula berpindah tempat kerana tiada keyakinan boleh meneruskan perniagaan disini,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Raja Munnie Syazwani Raja Samsudin, 37, berkata, dia bersama adik dan ibu bapa dari Johor datang ke Kelantan untuk mencari kelengkapan raya di bazar Buluh Kubu namun hampa.
“Banyak lot kedai kosong dan tiada pilihan untuk membeli baju raya, bazar ini sunyi, suram dan tidak semeriah dahulu serta tidak ramai orang,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau berharap akan adanya perubahan dan penambahbaikan kepada masalah ini bagi memastikan bazar ini mampu bertahan dan menjadi pusat tarikan pelancong.
-AA-