Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

31 Mangsa Banjir PPS SK Sungai Kechil Ulu Menerima Bantuan Wang Ihsan dan Sumbangan Ihsan Perdana Menteri

By 20 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Siti Nor Asikin Haria (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 20 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 31 orang mangsa banjir pada bulan September 2024 (Fasa 1) telah menerima Sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Sumbangan Wang Ihsan Perdana Menteri berjumlah RM1,000 setiap kategori bertempat di SK Sungai Kechil Ulu yang merupakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi kawasan Parit Nibong dan sekitarnya, di sini, hari ini.

Abdul Rahim Said, 75, (bertongkat) bersama para penerima Sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Sumbangan Wang Ihsan YAB Perdana Menteri

Salah seorang penerima bantuan, Abdul Rahim Said, 75, dari Kampung Sungai Kechil Ulu, berasa amat bersyukur dan menghargai sumbangan yang diberikan.

“Kejadian banjir baru-baru ini merupakan ujian Allah, rumah saya kerap dinaiki air apabila hujan lebat dan air pasang. Rumah saya rendah dah tiga kali raya rumah saya dimasuki air banjir,” katanya.

Kamarudin Bahari, 63, semasa sesi pendaftaran Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Sumbangan Wang Ihsan Perdana Menteri

Dr. Muhamad Zaini Mohamod, Timbalan Pengarah, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah (ICU) semasa ditemubual berkata, senarai penerima sumbangan bantuan mangsa banjir ini adalah sumber daripada Pejabat Daerah dan Tanah Daerah.

“Syukur mangsa banjir Fasa 1 ini menerima sumbangan tunai daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,000 setiap kategori iaitu Bantuan Wang Ihsan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Sumbangan Wang Ihsan Perdana Menteri,” ujarnya.

Sebelum ini, mangsa banjir hanya menerima bantuan berupa bakul makanan sahaja namun sumbangan ini mungkin berbeza bagi penerima mangsa banjir bagi Fasa 2 dan 3 tertakluk kepada keadaan semasa.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Daerah Bandar Baharu (Pembangunan), Mohamad Izwan Dato’ Paduka Haji Mohd Omar, Penolong Pegawai Daerah Bandar Baharu (Pengurusan Daerah), Zulfadzrin Noor Din, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin Yahya, Penghulu Mukim Bagan Samak, Muhammad Fazil Ahmad dan pegawai-pegawai Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah.

-AA-

Tinggalkan komen anda