
Laporan/foto: Nurulaini (Kulai)
KULAI, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Program Santuni MADANI terus memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar dengan pemberian insentif khas sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pertanian, Kulai yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Pertanian, semalam.

Ucapan perasmian Program Santuni MADANI Kampung Pertanian oleh Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dalam ucapannya memaklumkan bahawa insentif tersebut bertujuan memperkasa usaha menangkap ikan bandaraya secara bersepadu oleh penduduk kampung.
“Hari ini, kita menampilkan para penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman ikan bandaraya atau nama saintifiknya, Hypostomus plecostomus, yang boleh menjejaskan biokepelbagaian, merosakkan ekosistem serta mengakibatkan hakisan tebing sungai,” katanya.

Kehadiran penduduk setempat ke Program Santuni MADANI Kampung Pertanian
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa program ini merangkumi pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk, antaranya pemindahan taman permainan kanak-kanak dari Taman Empangan Putrajaya ke Dataran Mahkota Kampung Pertanian.
“Taman ini akan dilengkapi dengan integrated play structure serta lantai seamless rubber bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kanak-kanak serta enam unit fitness station dan tujuh unit kerusi taman akan ditempatkan di sepanjang laluan pejalan kaki di tepian sungai.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga akan membantu dalam penyediaan laluan pejalan kaki sepanjang persisiran sungai yang membolehkan penduduk kampung menjalankan aktiviti riadah dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat,” tambahnya.
Program Santuni MADANI ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan di kawasan luar bandar serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat melalui inisiatif yang menyeluruh dan berimpak tinggi.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Sosioekonomi Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Parang Abai@Thomas, Pegawai Daerah Kulai Fizwan Datuk Mohd Rashidi, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai Mohd Fahmi Salam, Ahli Dewan Negeri Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern serta Pentadbir Tanah Daerah Kulai Afzan Azhari.
-AA-