
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip / Mohd Maqdi Salleh (Tawau)
TAWAU, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Semangat perpaduan dapat dilihat melalui sambutan pelbagai perayaan yang diraikan bersama tanpa mengira kaum dan kepercayaan.
Salah satu perayaan yang signifikan dalam konteks perpaduan ialah Thaipusam, yang bukan sahaja disambut oleh masyarakat India beragama Hindu tetapi turut dihormati oleh rakyat pelbagai latar belakang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, perayaan Thaipusam bukan sahaja berperanan sebagai amalan keagamaan, malah mampu menjadi faktor yang mengukuhkan keharmonian serta menarik pelancong ke negara ini.

Sekitar suasana meriah sambutan perayaan di Kuil Thirumurugan.
“Keharmonian ini boleh menjadi daya tarikan pelancong, terutamanya menerusi perayaan-perayaan ikonik seperti Thaipusam dan pelbagai perayaan lain yang diadakan sepanjang tahun.
“Saya berharap agar sokongan berterusan dari kerajaan serta kerjasama erat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dapat memastikan Thaipusam bukan sahaja diraikan sebagai acara keagamaan tetapi juga sebagai simbol perpaduan dan keharmonian negara,” katanya ketika ditemui pada sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Thirumurugan di sini semalam.
Terdahulu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap keputusan Kerajaan Negeri yang meluluskan pewartaan tapak Kuil Thirumurugan di Jalan Utara.

Keunikan perayaan Thaipusam diraikan dengan meriah.
“Ini satu keputusan yang disambut dengan penuh kegembiraan oleh masyarakat India, khususnya penganut Hindu di daerah ini.
“Kuil Thirumurugan ini telah wujud lebih 50 tahun dan menjadi pusat ibadat serta aktiviti keagamaan masyarakat Hindu di sini.
Dengan selesainya isu geran tanah ini, penganut Hindu kini boleh beribadat dengan lebih tenang dan selesa,”jelasnya.
-RJ-