
Laporan/foto: Noor Aini/Anuar Che Amat
KUALA PERLIS, 9 Ogos (MalaysiaAktif) – Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Negeri Perlis sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) pada 6 dan 7 Ogos lalu tampil unik apabila 12 buah beca kampung berhias roda tiga atau ‘coley’ berarak dengan warna dan jiwa luar biasa di Seberang Ramai, Kuala Perlis.

12 bush Coley memeriahkan HKHM2025 Peringkat Negeri Perlis.
Diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, ‘coley’ bukan sekadar beca kampung, tetapi sebuah manifestasi semangat komuniti yang bangkit menzahirkan rasa cinta kepada negara melalui kreativiti, seni dan kesepakatan.
Sebanyak 12 unit ‘coley’ yang kreatif menyatukan unsur moden dan tradisi dihias secara bergotong-royong oleh penduduk kampung dengan penglibatan aktif belia, wanita dan masyarakat setempat.
Berarak perlahan dengan membawa tetamu khas, wakil komuniti dan peserta berkonvoi dari Dataran Seberang Ramai ke Dewan Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, dengan barisan ‘coley’ yang berwarna-warni menjadi tumpuan lensa kamera penonton.
Sorakan peserta juga menggambarkan bagaimana semangat merdeka boleh diraikan secara santai tetapi penuh makna dalam semangat Malaysia MADANI.
“‘Coley’ adalah lambang semangat Merdeka para penduduk, semangat yang mengingatkan tidak lupa pada akar budaya, sentiasa menyatukan komuniti dan mengangkat suara kampung bersatu sebagai nadi negara,” ujar seorang penduduk tempatan Norsiah Long, 63, kepada MalaysiaAktif kelmarin.

Sebuah ‘coley’ boleh dinaiki hingga tiga orang penumpang.
“Melalui ‘coley’, kami bukan sekadar mencantikkan sebuah kenderaan ‘kampung’, tetapi kami menyemarakkan semangat merdeka dalam cara kami sendiri,” kata Farishah Saidin, 46.
Projek ‘coley’ adalah sebahagian daripada inisiatif Kampung Warna Warni, yang menghimpunkan tujuh buah kampung di kawasan Seberang Ramai yang menjadi satu destinasi pelancongan komuniti yang unik di negeri berkenaan.
-RI





