
Laporan/foto: Noor Aini/Siti Nur Balqis
KANGAR, 1 Ogos (MalaysiaAktif) – Penghayatan terhadap sejarah dan semangat perjuangan kemerdekaan tidak lagi terbatas kepada lipatan buku teks semata-mata.
Melalui Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Bilik Seminar Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis semalam, roh patriotisme dizahirkan dengan penuh rasa oleh generasi muda yang tampil sebagai pengkisah bangsa.

Johan bagi Pertandingan Pengisahan Peringkat Negeri Perlis membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM1,000 , plak, serta sijil.
Enam buah sekolah menengah dari seluruh negeri telah berentap penuh semangat, bukan hanya untuk menjuarai, tetapi lebih penting sebagai usaha memartabatkan sejarah dan perjuangan bangsa melalui medium yang lebih segar, kreatif dan beremosi.
Bagi para peserta dan guru pengiring, penyertaan dalam pertandingan ini bukan sekadar latihan lakonan atau hafalan skrip.
Menurut Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Normila Ramli, proses penyediaan pasukan sejak awal membuka ruang yang luas untuk pelajar menyelami makna sebenar patriotisme.
“Semangat patriotik yang terpancar ketika kami bersama-sama menyiapkan skrip, merancang latar dan memilih kisah yang menyentuh jiwa benar-benar menjadi penyuntik semangat buat pelajar dan guru,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini semalam.
Guru Penyelaras dan pengiring SMK Agama Arau Haulah Razali turut berkongsi bahawa platform sedemikian memberi impak yang menyeluruh terhadap pembangunan sahsiah pelajar.
“Ia bukan sekadar pertandingan bagi kami yang menang bertanding, tetapi pengalaman yang membina semangat kerja berpasukan, kemahiran komunikasi serta keyakinan diri. Ini semua nilai yang sangat penting dalam membentuk jati diri anak muda hari ini,” katanya.
Keunikan pertandingan itu terletak pada keupayaan pelajar menjiwai dan menzahirkan semula semangat perjuangan kemerdekaan.

Pengarah Penerangan Negeri Perlis memberikan ucapan aluan.
Suara-suara muda yang kedengaran bukan sekadar lantang, tetapi sarat dengan kesedaran dan kefahaman tentang pengorbanan dan kecintaan kepada negara.
“Bila kami faham betul-betul maksud perjuangan, baru kami rasa apa itu makna sebenar kemerdekaan,” ujar Iz’aan ‘Aliyah Agus, 14, dari Sekolah Agama Al Islahiyah Menengah yang membawakan tajuk ‘Warisan Perjuangan Bangsa’.
“Kami cuba sampaikan rasa semangat pejuang-pejuang dahulu yang mungkin tak dikenali namanya, tapi jasanya besar,” kongsi Iftiqar Amzar Mohd Rizam, 14, dari SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, yang mempersembahkan kisah bertajuk Pejuang Tanpa Tanda.
Penceritaan yang dibawa tidak hanya menyentuh perasaan penonton, malah mencetuskan kesedaran baharu tentang pentingnya memahami sejarah dari sudut pandang generasi masa kini.
SMK Agama Arau telah dinobatkan sebagai Johan menerusi persembahan bertajuk ‘Darah Tanah Ini’ oleh kumpulan HUFFAZZERS NO COUNTER daripada enam sekolah yang bertanding.
-RI





