Skip to main content
Rencana & Pendapat

Azura Pewaris Seni Gendang Melayu

By 29 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Zamri Mohamad/ Dayag Azura (Sarawak)

MIRI, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Di sebalik setiap paluan gendang yang bergema, tersimpan kisah warisan seorang anak seni.

Zulhaidawatie Bujang @ Dayang Azura, 45, atau lebih mesra disapa Azura, bukan sekadar pemain gendang biasa kerana beliau adalah pewaris legasi ibunya, Allahyarham Masni Binti Pindek @ Dayang Masni, seorang sosok tersohor dunia seni muzik tradisional yang dikenali ramai sebagai Mak Gendang.

Dari tangan ibunya yang mahir, Azura belajar bukan sahaja seni paluan, tetapi juga semangat untuk menjaga dan menghidupkan warisan gendang Melayu agar terus bernafas dalam generasi baharu.

Ketika ditemui semalam, Azura berkata beliau mula terdedah kepada dunia seni budaya sejak kecil apabila sering menemani ibunya ke pelbagai majlis keramaian.

Pengalaman itu bukan sahaja menimbulkan rasa kagum, malah turut menyemai semangat dalam dirinya untuk mendalami dan mempertahankan seni muzik warisan bangsa.

Pernah dinobatkan sebagai Johan ketika menyertai Pertandingan Gendang Melayu Sarawak Peringkat Zon Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.

“Keakraban dengan gendang sejak usia muda menjadikan saya mahir dan memahami nilai serta roh gendang sebagai nadi utama dalam pelbagai persembahan tradisional Melayu,” ujarnya menceritakan bagaimana gendang begitu intim dengan dirinya.

Keunikan Azura sebenarnya terserlah melalui gaya permainannya yang penuh bertenaga tetapi tetap halus dan memikat dengan keupayaan menggabungkan teknik tradisional dengan kreativiti tersendiri, menjadikan setiap persembahan lebih segar dan berkesan.

Irama pukulannya pula mampu menghidupkan suasana sama ada dalam majlis perkahwinan, acara kebudayaan mahupun persembahan di majlis rasmi kerajaan dan swasta.

Selain itu, Azura tidak terkecuali menyumbang kepada usaha melahirkan generasi pelapis apabila beliau juga aktif menyertai bengkel seni budaya dan program komuniti dengan tujuan memberi peluang kepada remaja untuk mempelajari asas permainan gendang.

Azura juga pernah menyertai Pesta Pulau Bruit, Kampung Betanak.

“Saya menyertai bengkel seni budaya bukan sahaja untuk memastikan seni gendang Melayu terus hidup dan tidak dilupakan malah juga untuk memperkukuhkan jati diri anak muda terhadap warisan budaya bangsa,” jelasnya yang ingin melihat lebih ramai generasi muda berkecimpung dengan bidang kesenian ini.

Perjalanan seni yang dilalui selama ini telah membawanya ke setiap pelosok Sarawak, termasuk ke negara jiran seperti Brunei Darussalam dan Sabah, sekali gus memperluaskan pengaruh dan mengangkat martabat seni muzik gendang Melayu ke peringkat lebih tinggi.

Melihat kepada ketekunan dan kecintaannya terhadap seni ini, Azura wajar dilihat sebagai antara simbol kesinambungan tradisi dan bukti bahawa muzik warisan bangsa masih relevan dalam arus moden.

-RJ-

Tinggalkan komen anda