Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

RETI Terus Lahirkan Tenaga Mahir Maritim, Keselamatan Pekerjaan Berdaya Saing

By 3 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaik Fikri (Kemaman)

KEMAMAN, 3 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 583 graduan Institut Pendidikan dan Latihan RANACO (RETI) dan Ranaco Marine Sdn. Bhd. (RMSB) diraikan penuh gemilang dalam Majlis Konvokesyen ke-14 yang berlangsung di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru, DITC, Teluk Kalong, di sini kelmarin.

Majlis yang disempurnakan Canselor RETI, Kapten Abdul Aziz Abdullah itu bukan sekadar meraikan pencapaian akademik, malah menjadi simbol kecemerlangan dan dedikasi pelajar dalam bidang maritim serta keselamatan pekerjaan, selaras dengan usaha negara memperkukuh tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor strategik.

Kapten Abdul Aziz Abdullah menyampaikan Anugerah Kapten Ramlan dan Anugerah Perdana Tahun 2024 kepada penerima, Muhammad Amirul.

Tumpuan utama konvokesyen kali ini terarah kepada Muhammad Amirul Hadi Mat Ali, 31, graduan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DIOSH) dari Kota Bharu, Kelantan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Kapten Ramlan dan Anugerah Perdana Tahun 2024.

Membawa pulang kejayaan berganda dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sempurna 4.00, Amirul kini berkhidmat sebagai Juruteknik Keselamatan di Petronas Gas Bhd (PGB).

“Sistem pembelajaran di RETI mudah difahami, tenaga pengajar sangat membantu, dan ibu bapa sentiasa menjadi tulang belakang saya. Saya bersyukur kerana graduan RETI mempunyai peluang kerja yang luas dalam industri,” katanya, yang turut berhasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah ketika kepada Malaysia Aktif.

Puteri Nurul Liyana turut menerima Anugerah Kapten Ramlan dan Anugerah Perdana Tahun 2024.

Turut menjadi tumpuan ialah Puteri Nurul Liyana Ibrahim, 23, dari Dungun, yang turut menerima Anugerah Khas Kapten Ramlan 2025 selepas memperoleh PNGK 3.90.

“RETI bukan sahaja mendidik dari segi akademik, malah membentuk jati diri dan kepimpinan melalui organisasi pelajar. Hubungan erat antara pelajar dan pensyarah menjadikan suasana pembelajaran lebih bermakna dan menyeronokkan,” katanya yang kini menerima tawaran kerja daripada Geowell Sdn. Bhd. hasil kecemerlangan akademik serta penglibatan aktifnya dalam aktiviti kampus.

Majlis konvokesyen itu turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kepada graduan terbaik daripada pelbagai bidang, menzahirkan komitmen RETI untuk terus melahirkan tenaga mahir berdaya saing, khususnya dalam sektor maritim dan keselamatan industri negara.

-RI

 

 

Tinggalkan komen anda