
Laporan/foto: Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Seminar Bahtera Kasih bertemakan “Keluarga Harmonis, Bahagia Sepanjang Masa” mampu memperkukuh institusi keluarga di daerah Kudat.
Dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), seminar ini bertujuan membina keluarga kukuh sebagai asas penting mewujudkan masyarakat harmoni.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ben Chong Chen Bin berkata, antara aspek utama yang ditekankan ialah amalan komunikasi berkesan, kasih sayang ikhlas, sikap saling menghormati serta pegangan agama yang kukuh dalam kehidupan berkeluarga.

Ben Chong Chen Bin menyerahkan sumbangan asnaf dan menekankan peranan keluarga kukuh dalam membina masyarakat harmoni di Kudat.
“Panduan membentuk keluarga bahagia termasuk memberikan didikan dan asuhan sempurna serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Seminar ini juga menekankan kerjasama rumah tangga, tanggungjawab, penyelesaian konflik secara matang dan sikap saling memaafkan,” katanya ketika merasmikan seminar di Dewan Tun Mustapha, di sini, Khamis lalu.
Beliau yang juga ADUN Tanjong Kapor menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima asnaf sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Antara pengisian utama seminar ialah ceramah ‘Tanggungjawab Suami Isteri (Lelaki Qawwam dan Bidadari Syurga) dan Penyelesaian Konflik’ oleh Ustaz Mohd Razali Saibin. Seminar ini turut menampilkan Pakar Psikiatri, Dr. Mohd Amiruddin Mohd Kassim, membentangkan ceramah ‘Penjagaan Kesihatan Mental: Tanggungjawab Bersama’.

Suasana program Seminar Bahtera Kasih bertemakan “Keluarga Harmonis, Bahagia Sepanjang Masa” di Dewan Tun Mustapha, Kudat kelmarin.
Seminar dihadiri kira-kira 300 peserta dan turut disertai Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Badan Dakwah Kudat, Malim Supre; Penyelaras Program, Ustazah Siti Hajar Makmud; Ketua Daerah Kudat, Ali Asgar Ali Baba; Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Kudat, Ustaz Mohd Hafidz Ahmad; Pengetua IPDAS, Ustazah Noordianah Alwi; serta ketua-ketua jabatan.
-RJ-





