
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
PASIR GUDANG, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Malaysia secara rasmi melakar sejarah dalam sektor penerbangan hijau dengan pelancaran loji pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) pertama di negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata kerajaan menyokong penuh pembangunan fasiliti perintis milik EcoCeres itu yang dilihat selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Agromakanan Komoditi Negara (DAKN) 2030.

Noraini berkata Kerajaan Malaysia menyokong fasiliti perintis EcoCeres yang selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Dasar Agromakanan Komoditi Negara (DAKN) 2030.
Beliau menegaskan bahawa pemerkasaan inovasi dalam bahan api boleh diperbaharui bukan sahaja mampu mengurangkan jejak karbon, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi hijau di rantau ini.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi tetapi juga mencerminkan komitmen jitu kementerian terhadap pembangunan perindustrian yang mampan.
“Penubuhan fasiliti ini adalah manifestasi usaha Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050 melalui pendekatan penukaran sisa kepada bahan api,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut, di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Towngas merangkap Pelabur Pengasas EcoCeres Dr. Peter Lee menyifatkan pembukaan loji di Johor itu sebagai bukti bagaimana kolaborasi serantau mampu menyumbang kepada penyelesaian perubahan iklim global.

Detik bersejarah di Pasir Gudang, Johor apabila fasiliti bahan api boleh diperbaharui berteknologi tinggi dilancarkan sebagai loji pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) pertama di Malaysia.
“EcoCeres telah berkembang daripada sebuah makmal kecil di Hong Kong sehingga menjadi antara peneraju pengeluaran SAF di peringkat global.
“Dengan sokongan dasar kerajaan yang kondusif, kami yakin usaha ini dapat mengubah arus perubahan iklim demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Loji tersebut yang telah memulakan operasi dan memperoleh pensijilan pada Oktober 2025, turut menghasilkan Hydrotreated Vegetable Oil (HVO) dan Renewable Naphta dengan kapasiti gabungan pengeluaran berlesen sebanyak 350,000 tan setahun.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Datin Paduka Hazlina Jalil.
-RI






