Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Satu Maut Kemalangan Babit Tiga Kenderaan di PLUS

By 12 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia

GOMBAK, 12 Jan (MalaysiaAktif) – Seorang penumpang bas disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 441.2 Lebuhraya PLUS arah utara ke selatan, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.45 pagi, manakala siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 5.45 pagi.

Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah bas, sebuah lori bonded dan sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati bas yang berada di lorong kanan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan kenderaan itu melintang di tengah jalan.

“Lori bonded dan motosikal yang datang dari arah sama kemudian melanggar bahagian kiri bas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata akibat perlanggaran itu seorang penumpang bas disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Pemandu lori, penunggang motosikal serta tujuh penumpang bas lain mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital sama. Bagaimanapun, pemandu bas dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ins Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-331 1552 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222.

-RI

Tinggalkan komen anda