
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Kementerian Digital
GOMBAK, 1 Feb (MalaysiaAktif) – Menteri Digital, Gobind Singh Deo menggesa rakyat Malaysia menggunakan platform digital untuk mempelajari kepelbagaian budaya, bukannya menjadi medan mempertikaikan perbezaan antara kaum.
Katanya, keunikan perarakan pedati dan kewujudan thaneer panthal membuktikan keharmonian negara yang dapat disaksikan oleh pelancong asing sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Gobind menerima kalungan bunga malai daripada Pengerusi Kuil Batu Caves, Tan Sri Nadaraja
“Jadikan platform digital sebagai ruang untuk belajar, bukannya medan pertelingkahan.
“Kita perlu menggunakan teknologi bagi mendidik masyarakat menghargai keunikan budaya kita semua,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir memeriahkan sambutan Thaipusam di Batu Caves yang menyaksikan ribuan penganut Hindu berkumpul bagi menyempurnakan upacara keagamaan mereka.
Gobind turut berharap projek pembinaan dewan serbaguna serta pemasangan eskalator di kawasan kuil ikonik itu dapat direalisasikan segera demi keselesaan penganut dan pengunjung.
Menurutnya, Kementerian Digital turut menyediakan skrin gergasi di Pulau Pinang bagi memudahkan orang ramai mengikuti sambutan, sekali gus membuktikan peranan teknologi dalam menyatukan masyarakat.
Sementara itu, pusat khidmat beliau giat mengedarkan sumbangan makanan serta minuman kepada pengunjung sebagai tanda penghargaan atas dedikasi penganut meraikan hari yang bermakna.
Beliau menekankan bahawa Malaysia yang bersatu padu mampu mencapai kemajuan pesat jika rakyat terus mengekalkan semangat kebersamaan dan hormat-menghormati.
-AA-





