Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Masjid Nurul Amin Merbau Sempak Mercu Tanda Baharu, Mampu Tampung 1,500 Jemaah

By 13 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SUNGAI BULOH, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Penantian penduduk dan ahli kariah Merbau Sempak, di sini untuk memiliki rumah ibadat yang lebih selesa berakhir apabila Masjid Nurul Amin yang dibina semula dengan kos RM11.5 juta dirasmikan operasinya pada Khamis.

Masjid Nurul Amin Merbau Sempak kini menjadi mercu tanda baharu di kawasan Sungai Buloh

Majlis penyerahan projek berkenaan disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata masjid yang mula dibina pada 3 Mei 2023 itu kini menjadi mercu tanda baharu bagi menggantikan struktur masjid lama yang telah uzur.

Menurutnya, walaupun berdepan sedikit kelewatan atas faktor teknikal, masjid yang siap sepenuhnya pada 15 Januari lalu itu kini sedia digunakan untuk manfaat masyarakat setempat.

“Masjid ini mampu menampung kapasiti sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

“Ia bukan sekadar bangunan, tetapi simbol rahmat yang akan mendekatkan masyarakat melalui aktiviti keagamaan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan tersebut.

Amirudin bersama tetamu ketika meninjau Masjid Nurul Amin dari tingkat atas

Jelasnya, projek ikonik ini merupakan hasil kerjasama erat membabitkan peruntukan daripada kerajaan negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mengulas lanjut, Amirudin menyifatkan lokasi masjid tersebut strategik memandangkan terdapat perancangan pembinaan kawasan penempatan baharu di kawasan berhampiran.

“Kehadiran penduduk di penempatan baharu itu nanti dijangka akan terus meningkatkan lagi pengimarahan masjid ini.

“Kita mahu ia menjadi pusat penyatuan ummah yang aktif dan sentiasa dipenuhi dengan pengisian ilmu,” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda