
Laporan/foto: Mohd Ridhuan (SPU)/Facebook Chow Kon Yeow
SEBERANG PERAI, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih 14,000 petani di Pulau Pinang menerima manfaat langsung menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2025 dengan jumlah peruntukan RM13.4 juta, di sini semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (empat dari kini) meneliti Drone Pertanian milik Koperasi Kelompok Permatang Pasir Pulau Pinang Berhad
Program pengukuhan sektor pertanian itu dizahirkan melalui Majlis Penyerahan Peralatan Industri Asas Tani (Home-Base) dan Jentera Pertanian yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow melibatkan bantuan peralatan pemprosesan makanan serta jentera moden bagi meningkatkan kecekapan kerja di ladang dan kapasiti pengeluaran usahawan kecil serta sederhana.
Dalam ucapannya, Chow menegaskan sektor pertanian kekal sebagai tonggak penting ekonomi negeri khususnya dalam menjamin keterjaminan makanan dan kesejahteraan petani.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan sektor pertanian terus berdaya saing melalui penggunaan teknologi dan mekanisasi moden. Penyerahan peralatan dan jentera ini diharap dapat membantu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta memperluas pasaran produk tempatan,” ujarnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berpeluang mencuba Traktor Pertanian 4WD 85HP
Beliau turut menyeru penerima memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan serta terus berinovasi menghasilkan produk bernilai tambah tinggi selaras dengan aspirasi pertanian pintar dan mampan.
Inisiatif tersebut turut memperkasa usahawan Industri Asas Tani (IAT) untuk mengembangkan operasi secara lebih sistematik dan komersial, di samping membuka peluang pekerjaan baharu kepada komuniti setempat.
-AA-





