
Laporan/foto: Akmar Zulkifli/Sh.Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang bersetuju menyalurkan peruntukan masing-masing sebanyak RM75,000 kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) serta RM150,000 kepada Drug Intervention Community (DIC) sebagai usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Menteri Besar Pahang ketika berucap pada majlis tersebut
Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara itu diputuskan menerusi Belanjawan Negeri Pahang tahun ini bagi merealisasikan misi Dadah Terkawal 2030.
“Sepanjang tempoh lima tahun, kerajaan negeri telah memberikan sokongan berterusan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2021-2025.
“Ia diperkukuh melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di peringkat daerah dan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bintang Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang Tahun 2025, di sini semalam.

Penyampaian anugerah kepada salah seorang penerima
Antara pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan 100 peratus pengurangan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) melibatkan 12 kawasan yang kini telah mencapai status Hijau, sekali gus membuktikan keberkesanan Program Pengurangan Kawasan Berisiko Tinggi dalam menjayakan misi Dadah Terkawal 2025.
“Mukim yang telah berjaya diturunkan status kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR) ialah Gali, Batu Talam, Dong dan Sega di Raub, Pekan, Kuala Pahang dan Pahang Tua (Pekan), Perak dan Mentakab (Temerloh), Chenor dan Jengka (Maran) serta Kuala Kuantan di Kuantan,” jelasnya.
-AA-





