Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Rumah Ibadat Tidak Berdaftar: Selesaikan Ikut Prosedur Undang-Undang – William Leong

By 14 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menggesa semua pihak agar menangani isu rumah ibadat tidak berdaftar dengan penuh toleransi dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan bagi mengelakkan sebarang ketegangan.

Merujuk kepada perkembangan terkini di Rawang, beliau mengakui isu tersebut merupakan perkara sensitif kerana menyentuh soal kepercayaan dan identiti komuniti, namun menegaskan tindakan melangkaui undang-undang tidak akan membawa penyelesaian.

Menurutnya, kewujudan rumah ibadat yang tidak berdaftar pada hari ini sebahagian besarnya berpunca daripada faktor sejarah serta kekangan pentadbiran masa lalu.

“Permasalahan seperti ini, khususnya yang melibatkan status tanah hendaklah diselesaikan melalui saluran perundangan dan pentadbiran yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau turut menekankan bahawa mana-mana pihak yang mengambil tindakan unilateral (sepihak) tanpa mengikut prosedur tidak akan membantu keadaan, malah hanya akan mengeruhkan suasana.

Sementara itu, William menyeru rakyat agar menghayati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahukan pertikaian melibatkan rumah ibadat diselesaikan mengikut peraturan.

Beliau menyatakan komitmen untuk terus mengadakan perbincangan konstruktif bersama agensi berkaitan dan pemimpin komuniti bagi memastikan isu ini ditangani secara adil serta inklusif.

“Penghormatan terhadap proses undang-undang adalah kunci utama dalam memelihara perpaduan yang membolehkan Malaysia terus maju dan makmur,” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda