
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Sahabat-Sahabat Ahmad Primary School Pekan bagi sesi persekolahan tahun 1966 hingga 1971, di sini kelmarin.

Sultan Pahang bertitah agar sahabat-sahabat baginda sentiasa menjaga kesihatan di usia emas ini.
Al-Sultan Abdullah menyifatkan penganjuran majlis tersebut sebagai satu amalan yang mulia kerana mampu mengeratkan ukhuwah dalam kalangan sahabat lama, di samping menjadi ruang untuk saling bermaaf-maafan serta mengimbau kenangan silam.
Baginda juga turut menasihati sahabat-sahabat agar sentiasa menjaga kesihatan supaya dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan sejahtera, khususnya pada usia emas.
Majlis tersebut menjadi lebih bermakna dengan kepulangan seorang sahabat lama Al-Sultan Abdullah dari Melbourne, Australia semata-mata untuk bertemu dengan baginda serta bersua kembali dengan rakan-rakan lama, sekali gus mencerminkan keakraban dan persahabatan yang kekal terjalin sejak di bangku sekolah.
-RI





