Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tiada Lagi Ternakan Babi Di Selangor – Amirudin

By 12 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/BERNAMA

SHAH ALAM, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk tidak meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di seluruh negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketetapan itu diambil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi menjunjung kasih titah terbaharu Sultan Selangor,Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenan aktiviti berkenaan dijalankan di mana-mana daerah di negeri tersebut.

Menurut beliau, sejak Januari lalu kerajaan negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen baharu dan kini sedang memfokuskan kepada proses pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat.

“Bagi ladang penternakan yang masih beroperasi sebelum ini, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor.

“Keputusan ini juga diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan ini kepada alam sekitar termasuk saliran air dan pencemaran bau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai bekalan daging babi bagi masyarakat bukan Islam, Amirudin menjelaskan bahawa keperluan tersebut akan beralih sepenuhnya kepada sumber import.

“Setakat ini, 70 peratus daripada keperluan sumber tersebut adalah diimport dari negeri lain. Selepas keputusan MMKN ini, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit.

“Sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak menghentikan sebarang polemik berkaitan isu tersebut demi menjaga keharmonian kaum di Selangor.

Tegasnya, isu berkenaan tidak seharusnya dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mempunyai niat untuk menggugat keharmonian atau menimbulkan rasa syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri itu.

-AA-

Tinggalkan komen anda