Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Aroma Kopi Tiga Generasi Kopi Jakar Sarikei Kekal Jadi Kebanggaan

By 18 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Magdellina Alfred/Christopher Janting (Sarikei)

SARIKEI, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Kopi Jakar di Sarikei terus mengekalkan kaedah pemprosesan tradisional menggunakan arang kayu walaupun berdepan persaingan kopi moden di pasaran.

Syarikat Ngu Brothers Trading Co. yang kini diusahakan oleh generasi ketiga terus mengekalkan keunikan rasa pekat serta aroma kopi tradisional bagi memenuhi permintaan tinggi penggemar kopi di Sarikei.

Diusahakan keluarga Ngu Brothers Trading Co., kopi ini kekal menjadi identiti tempatan dan diminati kerana rasa pekat serta aromanya yang tersendiri.

Pewaris generasi ketiga, Ngu Tung Hang, 33, berkata penghasilan kopi dilakukan secara manual menggunakan biji kopi terbaik dari Amerika Latin dan rantau Arab.

“Kami hanya menggunakan biji kopi terbaik yang diimport dari Amerika Latin khususnya Brazil selain dari rantau Arab dan pemprosesannya pula menggunakan tenaga kerja mahir bagi memelihara keasliannya,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Menurutnya, proses memanggang mengambil masa sejam bagi setiap tong 30 kilogram (kg) dan memerlukan kemahiran tinggi.

“Ramai tidak tahu kerja membuat kopi ini jauh berbeza kerana hanya mereka yang berpengalaman dan pakar sahaja boleh melakukannya.

“Bunyi, bau dan kepulan asap putih yang keluar ketika memanggang menandakan biji kopi sudah masak,” katanya.

Ngu Tung Hang (kanan), menjelaskan produk kopi keluarannya kini mendapat permintaan meluas sehingga ke pasaran Bintulu dan Miri ketika ditemui di Sarikei semalam.

Menurutnya, kopi kemudian dipindahkan, dicampur bahan tertentu dan diadun selama 15 minit bagi memastikan kualiti.

“Bagi menyediakan kopi yang enak, pemprosesan dilakukan secara manual termasuk memanggang biji kopi menggunakan arang kayu,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran mencecah kira-kira 180kg sehari bermula seawal jam 6 pagi, menunjukkan permintaan konsisten.

Produk Kopi Jakar kini dipasarkan di kedai kopi, pasar raya, dalam talian serta ke beberapa kawasan termasuk Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri dengan mereka turut menghasilkan pelbagai jenis kopi seperti Robusta, Arabika, Liberika dan Kopi Putih.

-RJ

Tinggalkan komen anda