Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Penduduk Kapit Diseru Jadi ‘Mata Dan Telinga’ Lembaga Sungai-Sungai Sarawak

By 30 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Daniel Jong/Budin Gumbang (Kapit)

KAPIT, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan sungai diseru agar bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ kepada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Langkah tersebut penting bagi memastikan kelestarian ekosistem sungai di daerah Kapit terus terpelihara demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang berkata kerjasama komuniti amat penting memandangkan sungai merupakan nadi utama bekalan air dan protein.

Beliau menjelaskan sungai juga berfungsi sebagai sistem pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk di kawasan luar bandar.

Wilson menekankan kepentingan peranan komuniti sebagai ‘mata dan telinga’ dalam menjaga kelestarian ekosistem sungai di daerah Kapit.

“Saya berharap rakyat tidak menjadikan sungai sebagai ‘tong sampah’ kerana ia adalah warisan semula jadi yang sangat bernilai,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai anjuran LSS Bahagian Kapit di Rumah Panjang Entawau Ili, di sini hari ini.

Wakil Kontroller LSS Leo Nanang memaklumkan lokasi tersebut merupakan destinasi keempat daripada 28 siri program kesedaran yang dirancang di seluruh Sarawak sepanjang tahun ini.

Beliau menjelaskan program berkenaan bertujuan memupuk kesedaran masyarakat agar sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan sungai secara berterusan.

Penduduk setempat Banggau Uyop, 68, berkata program tersebut memberi pencerahan mengenai peranan komuniti dalam memastikan keselamatan sumber air.

“Menjaga sungai bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi tanggungjawab bersama demi manfaat generasi akan datang,” katanya.

Ketua Kampung Entawau Ili Arik Lubang, 49, pula menyifatkan inisiatif itu bermanfaat dalam mendidik penduduk mengenai saluran pelaporan insiden pencemaran yang betul.

Wilson turut menyerahkan sumbangan jaket keselamatan daripada pihak LSS kepada wakil penduduk sebagai usaha menggalakkan amalan keselamatan di air.

-RJ-

Tinggalkan komen anda