
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Jambatan Guillemard, sebuah jambatan kereta api bersejarah yang dibina pada tahun 1920 dan menghubungkan Kampung Kusial, Tanah Merah dengan Kampung Paloh Rawa, Machang, kini menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti fotografi, rakaman video serta riadah keluarga.
Jambatan ini merupakan antara mercu tanda sejarah penting daerah Tanah Merah dan kekal utuh walaupun pernah cuba dimusnahkan oleh tentera British pada tahun 1941 bagi menghalang kemaraan tentera Jepun.

Orang ramai mengambil video dan bergambar sekitar Jambatan Guillemard
Keunikan seni bina serta nilai sejarahnya menjadikan lokasi ini sering dikunjungi, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Seorang pengunjung, Farah Diana Fauzi, 30, dari Kampung Bukit Merah, berkata beliau bersama keluarga sering berkunjung ke kawasan tersebut untuk menikmati suasana sekitar, terutama pada waktu malam.
“Pemandangan sangat cantik, lebih-lebih lagi apabila kereta api melintasi jambatan dan membunyikan hon,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Sementara itu, pekerja Majlis Daerah Tanah Merah, Mohd Zaki Ibrahim, 54, berkata pihaknya sentiasa menjaga kebersihan dan landskap kawasan berkenaan bagi memastikan keindahannya terus terpelihara.
“Pada waktu petang, ramai datang untuk bersantai sambil menikmati matahari terbenam di tebing Sungai Kelantan, manakala pada waktu malam suasana lebih menarik dengan pencahayaan lampu berwarna-warni,” ujarnya.
Jambatan Guillemard bukan sahaja destinasi rekreasi, malah menjadi simbol warisan sejarah yang wajar dipelihara dan dihargai.
-AA-





