
Laporan/foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)
NABAWAN, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Beberapa buah masjid dan surau serta golongan asnaf di sekitar Nabawan menerima bantuan sempena Jelajah Ramadan 2026 bersama Ahli Parlimen Pensiangan di Sekolah Agama Rakyat Al-Falah, kelmarin.
Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup berkata selain sumbangan bakul makanan kepada 150 asnaf, setiap masjid dan surau yang mempunyai akaun bank masing-masing menerima RM5,000 dan RM3,000.
“Sebagai inisiatif tambahan, saya juga menyalurkan bantuan RM2,000 daripada sumbangan peribadi kepada surau yang masih belum mempunyai akaun bank.
“Program ini memberi peluang kepada saya untuk mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh setiap masjid dan surau di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut .

Arthur Joseph Kurup menyampaikan ucapan pada Program Jelajah Ramadan 2026 sempena Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk setempat di Sekolah Agama Rakyat Al-Falah, Nabawan, kelmarin.
Arthur berkata setiap masjid dan surau disarankan mempunyai akaun bank sendiri bagi memudahkan penyaluran bantuan serta memastikan tiada institusi yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Dengan usaha kerajaan termasuk pengaspalan jalan di Pagalungan dan Pensiangan, ia diharap dapat memberikan kemudahan kepada rakyat serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sekolah Agama Rakyat Al-Falah Nabawan Awang Malik berkata kelulusan bantuan sebanyak RM50,000 diterima sekolah berkenaan akan membolehkan penambahbaikan kemudahan seperti kerusi, meja serta keperluan lain untuk kegunaan tenaga pengajar dan murid dilakukan.

Awang Malik menyampaikan tazkirah Ramadan sebelum berbuka puasa pada Program Jelajah Ramadan 2026 di Sekolah Agama Rakyat Al-Falah, Nabawan.
“Dana ini juga diharap memberi impak positif kepada perkembangan pembelajaran murid serta menjadikan sekolah ini sebagai pusat ilmu agama kepada generasi muda,” katanya.
-RJ-





