
Laporan/foto: Shah Hood/Facebook Marina Ibrahim
JOHOR BAHRU, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Inisiatif Kedai Baju Percuma Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah memilih pakaian Hari Raya secara percuma sekali gus meringankan beban kewangan mereka menjelang Aidilfitri.

Antara pakaian terpakai yang masih elok disusun kemas di Kedai Baju Percuma DUN Skudai.
Program komuniti yang diilhamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim itu diadakan di sebuah premis kedai di Jalan Besi 3, Taman Sri Puteri, Skudai dengan konsep seperti butik sebenar bagi membolehkan pengunjung memilih pakaian terpakai yang masih elok keadaannya.
Menurut Marina, program yang telah berlangsung selama 11 tahun itu bertujuan membantu golongan B40 menyambut hari raya dengan lebih bermakna tanpa perlu berasa malu.
“Tiada sebab untuk berasa segan. Saya sendiri membesar dengan memakai pakaian terpakai yang diberikan rakan-rakan ibu saya,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Premis Kedai Baju Percuma DUN Skudai di Taman Sri Puteri yang beroperasi dengan konsep butik sebenar.
Bagi Hasrin Yahya, 30, kunjungan ke kedai berkenaan bersama isterinya pada awalnya terasa janggal, namun dengan tanggungan tiga anak serta ibu warga emas, bantuan itu amat bermakna.
“Jika beli pakaian untuk semua, kosnya boleh mencecah RM400. Di sini semuanya percuma dan sangat membantu mengurangkan beban kami,” katanya.
Inisiatif tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan, malah memberi peluang kepada mereka membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih ceria dan bermakna.
-RI





