Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kolej Komuniti Paya Besar Anjur Majlis Khatam Al-Quran Semarakkan Ramadan

By 15 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farah Shaherza (Kuantan)/KKPB

PAYA BESAR, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 15 pelajar Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB) menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai kemuncak Program Semarak Ramadan 2026 yang berlangsung di kolej berkenaan, di sini pada Khamis.

Ustaz Kamal Hisham (berbaju biru) memimpin peserta Majlis Khatam Al- Quran

Program tersebut diadakan selepas para pelajar berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran sepanjang program tadarus yang bermula sejak 19 Februari lalu di bawah pimpinan Pensyarah Unit Pengajian Am KKPB, Ustaz Kamal Hisham Abdul Halim.

Program anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam (PPI) serta pemantauan Unit Ambilan dan Pembangunan Pelajar (UAPP) itu bertujuan meningkatkan penghayatan pelajar terhadap bulan Ramadan.

Pengerusi Persatuan Pelajar Islam, Nik Mohamad Hakimi Mohamad Ridzuan Lee, antara peserta Majlis Khatam Al- Quran

Menurut Pengarah Program, Noor Diana Abdul Samat, program tersebut menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah pelajar melalui penghayatan nilai-nilai Islam.

“Melalui program ini, kita bukan sahaja menggalakkan pelajar membaca al-Quran, malah memupuk nilai kerjasama dan amalan kebaikan dalam kalangan mereka,” katanya.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada para peserta sebagai penghargaan atas komitmen mereka sepanjang menjayakan program tersebut.

-AA-

Tinggalkan komen anda