Skip to main content
Berita TempatanSarawak

43 Murid Sertai MQNKSS Peringkat Daerah Daro

By 30 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Afiqah Morshidi/Azri Mee (Tanjung Manis)

BELAWAI, 30 April (MalaysiaAktif) – Seramai 43 peserta daripada lima buah sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) Peringkat Daerah Daro telah menyertai Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (MQNKSS) di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Gesa, Belawai, di sini semalam.

Penganjuran MQNKSS menjadi platform penting kepada murid-murid sekolah rendah untuk mempamerkan bakat dalam bidang tilawah, nasyid dan seni khat, di samping memperkukuh penghayatan terhadap isi kandungan al-Quran serta keindahan seni Islam.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Daro, Unit Pendidikan Islam, Ismail Majelis ketika menyempurnakan majlis penutupan MQNKSS Peringkat Daerah Daro Tahun 2026 semalam menekankan kepentingan pembentukan sahsiah seiring kecemerlangan akademik.

“Bertemakan ‘Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan’, penganjuran tahun ini memberikan penekanan khusus terhadap kepentingan pembentukan peribadi mulia selari dengan aspirasi pendidikan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa program seperti MQNKSS mampu membentuk generasi murid yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan jati diri.

“Kecemerlangan akademik semata-mata tidak lagi memadai jika tidak disulami dengan akhlak dan sahsiah yang terpuji,” katanya.

Bagi kategori pertandingan nasyid, johan disandang kumpulan nasyid dari SK Semop, manakala SK Tanjung Manis dan SK Daro masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Penganjuran MQNKSS diharap dapat terus menyemarakkan syiar Islam dalam kalangan generasi muda serta melahirkan modal insan berilmu, berakhlak dan berkeperibadian tinggi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda