Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Piknik Membaca 2026 Jadi Platform Santai Semai Minat Membaca

By 13 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 12 April (MalaysiaAktif) – Program Piknik Membaca 2026 yang bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat melalui pendekatan santai dan interaktif berjaya menarik penyertaan lebih 400 peserta, termasuk pelajar dari sekolah antarabangsa.

PPAJ berhasrat menganjurkan Piknik Membaca dalam skala lebih luas dengan kos minimum dengan kerjasama NGO dan komuniti setempat

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan Negeri Johor Aznan Tamin, berkata program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) dengan kerjasama Kolej Universiti Selatan serta Siji Art Management Jakarta itu mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya disertai pelajar sekolah antarabangsa berhampiran.

Menurut beliau, program seumpama ini akan diperluaskan dan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat di pelbagai daerah.

“Perpustakaan di bawah PPAJ terdapat di setiap daerah dan kita berhasrat untuk memperluaskan pelaksanaan Program Piknik Membaca ke seluruh negeri Johor agar tidak hanya tertumpu di satu lokasi sahaja, sebaliknya dapat dilaksanakan di pelbagai tempat,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di Perpustakaan Awam Johor, di sini semalam.

Program Piknik Membaca di Perpustakaan Awam Johor mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya disertai pelajar sekolah antarabangsa berhampiran

Sementara itu, Pengarah PPAJ Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman, berkata Piknik Membaca merupakan inisiatif khas yang mampu menyemarakkan budaya membaca dalam skala besar tanpa memerlukan peruntukan yang tinggi.

“Program ini boleh dilaksanakan oleh semua pihak, bukan hanya agensi kerajaan dan kita akan memastikan setiap perpustakaan di bawah PPAJ turut menganjurkan program ini dalam skala lebih luas dengan kos minimum melalui kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat,” jelasnya.

Turut hadir, Pegawai Bahagian Penerangan, Sosial dan Budaya Konsulat Jeneral Republik Indonesia Eri Kenanga dan Kurator Siji Art Management Prof. Dr. Arif Datoem.

-AA-

Tinggalkan komen anda