
Laporan/foto: SitiHajar/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 36 pelajar menerima pemberian insentif khas berjumlah RM1,000 pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Perak bersama Anak-Anak Cemerlang di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS), semalam.
Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad, berkata tujuh daripada penerima merupakan pelajar Program Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) dan 29 lagi adalah penerima Biasiswa Menteri Besar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Insentif ini sebagai penghargaan negeri terhadap pencapaian pelajar selain menyuntik semangat mereka untuk melakar kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
“Kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan terus mendapat sokongan pendidikan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus Pendidikan Yayasan Perak Megat Zarul Ekram Rusni, berkata komponen Biasiswa Menteri Besar Perak (BMB) telah diperkenalkan sejak 2019.
“Biasiswa ini telah memberi manfaat kepada seramai 7,627 orang pelajar peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan jumlah peruntukan melebihi RM8.12 juta,” katanya.
Salah seorang penerima, Nur Aina Syasya Zul Imran, 18, meluahkan rasa syukur atas insentif yang diberikan dan menyifatkannya sebagai penghargaan bermakna terhadap usaha serta pencapaiannya dalam akademik.
“Insentif ini sememangnya memberikan peluang dan menyuntik semangat saya untuk meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu,” katanya.
-AA-





