
Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/Mohd Fadzhel Ramneh dan Kartinah Jamlin (Kota Belud)
KOTA BELUD, 29 Mei (MalaysiaAktif) – Golongan petani dan ketua isi rumah daripada kumpulan B40 di Kampung Nahaba Kota Belud mengemukakan cadangan agar program Jualan Rahmah MADANI diadakan lebih kerap di kawasan berkenaan.
Pengerusi Tamu Desa Kampung Nahaba, Gamparis Limban, 69, berkata program berkenaan bertindak sebagai salah satu mekanisme untuk mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung penduduk berpendapatan rendah.
Jelasnya, harga barangan keperluan asas yang murah dan sistem pembayaran yang mesra pelanggan memudahkan urusan jual beli terutama melibatkan penduduk warga emas.
“Kami berharap agar Jualan Rahmah ini kerap diadakan di sini kerana ramai penduduk mahu membeli barangan yang begitu murah berbanding harga di pasaran yang terlalu tinggi serta kekangan pengangkutan ke pekan terutamanya bagi golongan warga emas seperti saya.
“Saya bersyukur Jualan Rahmah ini masuk ke kawasan pedalaman di Kampung Nahaba ini dan menjual barangan asas dengan harga berpatutan kepada penduduk kampung di sini terutama menjelang sambutan Pesta Kaamatan tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Program Jualan Rahmah MADANI Tamu Desa Kampung Nahaba semalam.
Sementara itu, Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tuaran, Fredlee Sintau menegaskan Program Jualan Rahmah Madani tersebut antara komitmen berterusan KPDN.
Jelasnya, pihak KPDN akan berusaha untuk memastikan manfaat diskaun dan penjimatan kos melalui pelaksanaan program ini dapat dinikmati oleh rakyat di semua peringkat termasuk di kawasan luar bandar.
“Kami akan terus berusaha dan merancang sebaik mungkin pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani di pelbagai lokasi, sama ada di bandar, pinggir bandar mahupun luar bandar, khususnya di kawasan seliaan KPDN Cawangan Tuaran merangkumi daerah Tuaran, Kota Belud dan Ranau.
“Ini penting agar lebih ramai rakyat dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang murah dan berpatutan, seperti hari ini penduduk berpeluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian terpilih pada harga diskaun sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” ujarnya ketika ditemui di tapak program berkenaan.
-RJ-





